Ketua pergerakan itu Hairul Anwar Mohamed Noor berkata misi bantuan yang mengambil masa selama dua hari itu akan mula bergerak ke Temerloh dan Pekan di Pahang seterusnya ke Dungun, Terengganu. 
Sukarelawan yang terlibat adalah dari Jabatan Belia dan Sukan negeri, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Belia 4B Perak, Umno Bahagian Tambun, Sukarelawan Anak Jati Perak (Sajak) serta Pusat Perubatan Universiti Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran misi itu di sini hari ini. 

"Misi ini membabitkan 10 kenderaan pacuan empat roda (4x4), tiga lori dan empat buah van untuk membawa bantuan berupa keperluan harian seperti beras, gula, susu, selimut dan tilam," katanya. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin. 

Katanya sebanyak RM5,000 berjaya dikumpul hasil kutipan derma daripada orang ramai sejak tiga hari lalu dan nilai barangan yang disumbangkan dianggarkan RM10,000. 

Beliau berkata dalam misi itu sukarelawan juga akan membantu mangsa banjir membersihkan rumah yang dikotori lumpur dan air banjir. 
"Saya harap misi murni sebegini akan diteruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain supaya kita dapat meringankan beban dan kesusahan yang dialami oleh mangsa banjir selain berkongsi penderitaan yang dialami mereka," katanya. - BERNAMA